Adakah Seruan "Kembali Kepada Al-Qur'an Dan Al-Sunnah" Bererti Meninggalkan
Ajaran Para Imam Mazhab ?
Mutakhir ini kita sering kali mendengar seruan: “Kembalilah
kepada al-Qur’an dan al-Sunnah” atau “Pegangan kita hanyalah al-Qur’an dan
al-Sunnah”. Adakah dengan seruan ini bererti meninggalkan ajaran para imam
mazhab ?
Jawapannya tidak. Kesemua ajaran para imam mazhab adalah
berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Begitu juga dengan pengeluaran hukum
berdasarkan kaedah ijma’ dan qiyas, ia tetap berasal daripada al-Qur’an dan
al-Sunnah.
Maksud sebenar seruan “Kembali kepada al-Qur’an dan
al-Sunnah” ialah meninggalkan ajaran seseorang imam mazhab jika ia secara pasti
didapati tidak tepat berbanding dengan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang
sahih. Ajaran yang ditinggalkan itu juga hanya berkaitan dengan perkara yang
tidak tepat sahaja dan bukannya keseluruhan ajaran imam mazhab tersebut.
Berikut dikemukakan satu contoh.
al-Syafi‘e berpendapat membasuh muka ketika berwudhu’ adalah
wajib manakala berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung adalah sunat.
Ini kerana ayat yang memerintah wudhu’ hanya menyebut “membasuh muka” tanpa
menyebut berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung.[1] Ayat yang
dimaksudkan ialah:
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak
mengerjakan solat maka basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangah kamu hingga ke
siku dan sapulah sebahagian dari kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu
hingga ke buku lali. [al-Maidah 5:06].
Berkata al-Syafi‘e rahimahullah berkenaan ayat di atas:
Aku tidak mengetahui bahawa berkumur-kumur air di mulut dan
memasukkan air ke hidung atas orang yang berwudhu itu adalah fardhu (wajib). Dan
aku tidak mengetahui ada perselisihan bahawa orang yang berwudhu jika
meninggalkan kedua yang tadi dengan sengaja atau lupa dan mengerjakan solat,
bahawa tidak dihitung (tidak dikira sah) solatnya.[2]
Akan tetapi para mujtahid selepas al-Syafi‘e berpendapat
berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung adalah wajib hukumnya. Ini
kerana mulut dan hidung termasuk bahagian muka. Lebih dari itu jika dikaji
sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di dalam berwudhu’, beliau
sentiasa berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidungnya. Perbuatan baginda
ini memperincikan keumuman maksud “muka” di dalam ayat ke 6 surah al-Maidah di
atas.
al-Syaukani rahimahullah menerangkan:
Saya berkata, pendapat yang mengatakan ia (berkumur-kumur dan
menghirup air ke dalam hidung) adalah wajib merupakan pendapat yang benar. Ini
kerana Allah Subhanahu telah memerintahkan di dalam kitabnya yang agung
(al-Qur’an) untuk membasuh muka manakala berkumur-kumur dan menghirup air ke
dalam hidung termasuk bahagian muka. Dan
sungguh telah jelas bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam secara berterusan
melakukan yang sedemikian di dalam setiap wudhu’nya dan ini diriwayatkan oleh
semua perawi yang menjelaskan sifat wudhu’ baginda shallallahu 'alaihi wasallam.
Maka ini menerangkan bahawa termasuk bersama perintah al-Qur’an untuk membasuh
muka ialah berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung.[3]
Antara
hadis-hadis yang dimaksudkan ialah:
Pertama:
Daripada
Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
Apabila salah seorang antara kamu berwudhu’, maka hendaklah dia
memasukkan air ke dalam hidungnya kemudian menghembuskannya
keluar.
[4]
Kedua:
‘Ali (bin
Abi Talib radhiallahu ‘anh), bahawasanya dia meminta air wudhu’, kemudian dia
berkumur-kumur dan menghisap air ke hidung lalu menghembuskan air itu keluar
dengan tangan kirinya, dia berbuat demikian tiga kali. Kemudian dia berkata:
“Inilah cara berwudhu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.”
[5]
Ketiga:
‘Utsman ibn
‘Affan radhiallahu ‘anh, pernah meminta bekas air lalu dia menuangkannya ke atas
dua tapak tangannya tiga kali kemudian membasuhnya; kemudian memasukkan tangan
kanannya dalam bekas air lalu dia berkumur dan menghisap air ke dalam hidung………
Apabila selesai Uthman berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
bersabda: Sesiapa berwudhu’ seperti ini – dan wudhu’nya ialah seperti
ini…”[6]
Keempat:
Abu
Hurairah radhiallahu ‘anh berkata:
Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan kami berkumur-kumur dan menghisap air
ke dalam hidung.[7]
Oleh itu
pendapat yang lebih tepat ialah wajib hukumnya berkumur-kumur dan menghirup air
ke dalam hidung ketika berwudhu’.[8]
Demikian
satu contoh meninggalkan ajaran seorang imam mazhab jika ia secara pasti
didapati tidak tepat berbanding dengan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang
sahih. Sekali lagi diulangi bahawa yang ditinggalkan hanya ajaran berkaitan
dengan perkara yang tidak tepat sahaja dan bukan meninggalkan keseluruhan ajaran
imam mazhab tersebut.
[1] Wahbah al-Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, jld. 1,
ms. 222-223.
[2] al-Umm
(edisi terjemahan oleh Ismail Yaakub; Victorie Agencie, K.Lumpur 1989), jld.
1, ms. 69.
[3]
Sebahagian daripada kata-kata al-Syaukani di dalam al-Sail al-Jarrar (ed: M. Ibrahim Zayid; Dar al-Kutub al-Ilmiah,
Beirut 1405H), jld. 1,
ms. 81.
[4] Sahih:
Hadis riwayat Malik, Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan al-Nasa’i, lihat
Shahih Muslim – no: 237 (Kitab Thaharah, Bab menghirup air ke dalam
hidung).
[5] Sanad
Sahih: Hadis riwayat al-Nasa’i, sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani di dalam
Shahih Sunan al-Nasa’i – no: 091 (Kitab Thaharah, Bab tangan yang mana untuk
menghirup air ke dalam hidung).
al-Imam al-Nasa’i berasal dari Nasa, Parsi. Nama penuhnya
ialah ‘Abd al-Rahman Ahmad bin Syu‘aib, lahir pada 215H/830M. Minat beliau
kepada ilmu hadis bermula sejak kecil dan beliau telah merantau ke banyak
wilayah Islam untuk meriwayatkan hadis. al-Nasai meninggal dunia di Damsyik,
Syria pada 303H/915M.
[6] Sahih: Hadis riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim Abu Daud
dan al-Nasa’i, lihat Shahih al-Bukhari – no:160 (Kitab Wudhu’, Bab berwudhu;
tiga kali-tiga kali).
[7] Hadis riwayat al-Daruquthni dan al-Baihaqi di dalam
al-Sunan al-Kubra. Di dalam sanadnya terdapat perbincangan. Lebih lanjut lihat
penerangan ‘Adil Ahmad dan ‘Ali Muhammad di dalam penelitian mereka (tahqiq) ke
atas kitab Sunan al-Daruquthni, jld. 1, ms. 288-289.
Syaikh ‘Adil Ahmad bin ‘Abd al-Maujud dan Syaikh ‘Ali
Muhammad bin Mu‘awwad ialah dua orang peneliti (muhaqqiq) yang terkenal di mana
kini. Mereka telah membukukan belasan buah kitab daripada edisi manuskrip yang
asal kemudian diberi pelbagai catitan tambahan yang bermanfaat. Sebelum ini
usaha mereka banyak ditumpukan kepada kitab fiqh dan kini mereka menceburi
bidang hadis pula. Semoga Allah memberikan mereka kekuatan yang berterusan untuk
berkhidmat kepada ilmu-ilmu Islam.
[8] al-Syaukani – Nail al-Authar (edisi terjemahan oleh
Hadimulyo & Kathur Suhardi; CV Asy Shifa’ , Semarang 1994), jld. 1, ms.
306-312; Muhammad bin Ismail al-Shan‘ani – Subul al-Salam, jld. 1, ms. 106 dan
Hasbi al-Shiddieqie - Koleksi Hadis-hadis Hukum (Yayasan TM Hasbi Ash
Shiddieqie, Jakarta 1993), jld. 1, ms. 233-238.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar